Monday, February 21, 2011

ZAMAN DAH BERUBAH: BAHAYA AHLI NUJUM MODEN

“Zaman dah berubah, Dunia dah maju”. Teringat satu slogan yang diiklankan di televisyen pada suatu ketika dahulu memperkenalkan perubahan saiz satu surat khabar popular di Malaysia.

“Maklumat di Hujung Jari Anda”. Satu lagi slogan yang disebarkan bagi menggambarkan peredaran zaman kepada satu tahap yang lebih canggih.

Walaupun sekadar slogan pendek, namun semua itu cukup untuk menerangkan perihal dunia yang serba canggih pada hari ini. Maklumat terkini diperolehi tidak lagi perlu mengambil masa yang lama, yang perlu ada hanya satu komputer disambungkan ke capaian internet, tekan sahaja, terus dapat apa yang diingini.

Dalam menelusuri arus kemodenan dan kecanggihan ini yang mana diciptakan dengan kepandaian dan kebijaksanaan manusia, maka sudah pasti mereka juga mampu untuk mengekploitasi dan memanipulasi apa yang diciptakan mengikut kemahuan dan kehendak mereka, walaupun melanggar batas-batas sepatutnya, sebagaimana slogan lain yang berbunyi “Dunia Tanpa Sempadan”.

Oleh hal yang demikian, jika dilihat melalui sudut agama, semua ini pasti memberikan satu cabaran dan ancaman yang terkini lagi canggih kepada Islam dan penganutnya sendiri. Sebagai contoh; jika dahulu sesuatu yang mengancam aqidah umat Islam boleh ditafsirkan dan diceritakan dengan mudah ciri-cirinya, namun sekarang perkara ini tidak lagi semudah yang disangka. Hasil kemunculan pelbagai ilmu pengetahuan yang baru melalui penyelidikan terkini, timbul pelbagai bentuk baru yang mengancam aqidah umat Islam, antaranya yang akan dibahaskan di sini ialah AHLI NUJUM MODEN.

Apakah AHLI NUJUM MODEN itu? Ia adalah aplikasi-aplikasi yang banyak mengutarakan berkenaan ramalan-ramalan yang sepatutnya di luar ilmu kita, kerana Yang Maha Mengetahui Hal Ghaib, hanyalah Allah SWT.

FirmanNYA (Surah Al-Hasyr, 22):
هُوَ اللَّهُ الَّذِي لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ عَالِمُ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ هُوَ الرَّحْمَنُ الرَّحِيمُ
Dialah Allah Yang tiada Tuhan selain Dia, Yang Mengetahui yang ghaib dan yang nyata, Dia-lah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Pelbagai aplikasi diwujudkan di dalam laman sosial (terutama; Facebook) yang bersembunyi di sebalik istilah, menggunakan istilah yang dirasakan lebih selamat, namun ciri-cirinya adalah sama dan yang pasti ramai akan membantah hal ini, namun yang benar tetap benar.

Semoga pembaca dapat menilai terlebih dahulu hujjah dan perbandingan yang akan dibentangkan sebelum membuat keputusan sama ada menerima atau menolak artikel perbincangan ini. Antara yang paling popular di Facebook ialah; Rahsia Bulan Kelahiran, menyesuaikan pasangan (jodoh) melalui nama, menilik rahsia tahi lalat (sama seolah-olah menilik tapak tngan) dan macam-macam lagi yang tidak mampu disenaraikan semua di sini.

Penekanan di sini adalah berkenaan Rahsia Bulan Kelahiran kerana ramai dari kalangan sahabat terlibat secara langsung mempromosikan penggunaan aplikasi ini secara meluas. Mungkin akan ada yang mengatakan “Apa salahnya aplikasi tersebut, sedangkan ciri-ciri yang disebut adalah berdasarkan kajian orang yang bergelar Dato’ Dr., siapakah anda untuk mempertikaikannya?!”.

Betul, penulis tidaklah sehebat yang membuat kajian berkenaan ciri-ciri tersebut, tetapi segala-galanya melalui rujukan dan penyelidikan secara ilmiah serta perbincangan di sini juga berbentuk ilmiah, bukan untuk menjatuhkan mana-mana individu, atau jauh sekali untuk memperlekehkannya. Percambahan ilmu adalah melalui perbincangan secara ilmiah dengan sudut-sudut yang berbeza-beza.

Sebelum berbicara lebih terperinci, satu persoalan ditimbulkan “Adakah Rahsia Kelahiran Mengikut Zodiak diterima?”

Mengikut rujukan kepada Kamus Dewan (Edisi Ke-4), Zodiak mempunyai dua makna, iaitu;

Pertama: “Garisan melengkung khayalan di langit yg terbahagi kpd 12 bahagian, dan tiap-tiap satunya dinamakan mengikut nama gugusan bintang dua belas, mintakulburuj”.

Kedua: “Gambar rajah mintakulburuj yang digunakan dalam ILMU NUJUM”.
Oleh itu, jelas Zodiak adalah bersalahan dengan syari’at Islam kerana melibatkan ilmu nujum yang mana ditakrifkan sebagai menta’bir sesuatu yang belum terjadi berdasarkan bintang-bintang sebagaimana dilakukan oleh masyarakat Arab jahiliyyah, akhirnya diharamkan oleh Islam. Dalil-dalil pengharamannya akan dibentangkan di bawah.

Apakah kaitan Zodiak dengan Rahsia Bulan Kelahiran?

Kaitannya sangat jelas, jika ada yang pernah membandingkannya, namun akibat dikaburi dengan perkataan ilmu psikologi, maka kita tidak pernah cuba untuk membandingkan kedua-dua ilmu tersebut. Hanya mengambil langkah berlapang dada, tambahan pula kebanyakan yang disenaraikan mempunyai persamaan hampir 99% dengan diri kita.

Berikut adalah bukti jelas persamaan yang ada di antara Ilmu Nujum Zodiak dan Rahsia Bulan Kelahiran (Kajian Kekerapan):
RAMALAN AHLI NUJUM ZODIAK (UNTUK MEREKA YANG LAHIR PADA BULAN JULAI):
sukakan rumah tangga, keluarga, kesihatan, makanan, ada rasa simpati, memberi perlindungan, agak sensitif, punya kesabaran, kejujuran, dan kepintaran.

RAMALAN MELALUI KAJIAN PSIKOLOGI (UNTUK YANG LAHIR PADA BULAN JULAI):
terlalu mengambil berat, emosi sangat mendalam tapi mudah terluka hatinya, berjiwa sentimental, tinggi daya simpati, pemerhatian yang tajam, suka menilai orang lain dengan pemerhatian, mudah dan rajin belajar, jarang berdendam, mudah memaafkan tapi sukar melupakan, mudah dipujuk dan bercakap lurus.

Apakah pandangan kita? Ada persamaan?

Mungkin didapati ciri-ciri psikologi lebih kemas tersusun dengan ayat-ayat yang lebih menarik; alasannya mudah, kerana telah melalui satu proses kajian ilmiah dan dengan kata lain proses tambah baik dari yg lama (iaitu dari ciri-ciri yang ditampilkan oleh Zodiak pada asalnya).

Untuk lebih difahami, sesiapa sahaja yang pernah terlibat dalam proses penyelidikan pasti akan mempelajari satu subjek dipanggil “Kaedah Penyelidikan/Research Methodology” yang mana akan menerangkan beberapa kaedah bagi memperoleh keputusan penyelidikan yang tepat dan kemas, antara kaedah terpenting sebelum memulakan sesuatu kajian adalah Kajian Literal (Literature Review). Dalam kaedah ini, seseorang penyelidik mesti merujuk satu kajian yang telah dijalankan sebelumnya atau apa sahaja sumber yang boleh dikaitkan dengan kajian terbarunya itu. Penyelidik tersebut akan mengolah tajuk kajian lama atau sumber tersebut untuk menghasilkan satu keputusan yang terbaik bagi tajuk terbarunya.

Oleh itu, sebagai satu perkara normal jika dianggap penyelidik Rahsia Bulan Kelahiran ini melakukan Kajian Literal terlebih dahulu dengan merujuk sumber lama seperti; Ramalan Zodiak, dan seterusnya men”eksprimen” pemerhatian tersebut bagi menghasilkan satu keputusan yang lebih baik, tersusun dan kemas jika dibandingkan dengan keputusan yang lama. Wallahu'alam..

Kita boleh perhatikan sendiri hasil keputusan kedua-duanya dan kalau dirasakan mempunyai persamaan, tanya iman kita, hendak diteruskan dengan hal ini atau perlu ditinggalkan.

Sesuatu yang berkaitan dengan alam semula jadi adalah tanda kekuasaan Allah semata-mata, kita digalakkan memerhatikannya untuk menambahkan keimanan, tetapi adalah salah jika mengaitkan sesuatu kejadian alam dengan kejadian Qadha dan Qadar. Ini jelas diceritakan dalam satu Hadis Nabi SAW yang mana orang ramai mula berkata-kata sesuatu apabila anak Nabi SAW yang bernama Ibrahim (daripada isteri Baginda, Mariah Al-Qibtiyyah) meninggal dunia dan dalam pada masa yang sama, telah berlaku gerhana. Mereka berkata bahawa gerhana tersebut terjadi bersempena kematian Ibrahim. Nabi SAW yang mendengar hal tersebut, lantas bersabda:
إِنَّ الشَّمْسَ وَالْقَمَرَ لاَ يَنْكَسِفَانِ لِمَوْتِ أَحَدٍ وَلاَ لِحَيَاتِهِ، فَإِذَا رَأَيْتُمْ فَصَلُّوا وَادْعُوا اللهَ.
“Sesungguhnya Matahari dan Bulan, kedua-duanya adalah daripada tanda-tanda Allah (kekuasaan dan kewujudanNYA), tidak berlaku gerhana untuk kedua-duanya kerana kematiaan atau kehidupan sesiapa pun, jika kamu semua mendapatinya (dalam gerhana) maka solatlah (sunat gerhana) dan berdoalah kepada Allah.”
(Hadis Sahih Riwayat Al-Bukhari 1043, Muslim 2078, Ahmad 18362 dan lain-lain)

Malah disebut dalam hadis lain berkenaan satu sikap Jahiliyyah yang diharamkan selepas kedatangan Islam, iaitu التطير (memikirkan sesuatu yang negatif akan berlaku disebabkan sesuatu perkara terjadi), perkara ini juga terjadi dalam masyarakat kita, seperti “biawak melintas jalan” dikatakan akan berlaku kecelakaan jika diteruskan perjalanan, “gelas pecah” dikatakan ada sesuatu buruk akan berlaku.
الطِّيَرَةُ شِرْكٌ، وَمَا مِنَّا إِلاَّ، وَلَكِنِ اللَّهُ يُذْهِبُهُ بِالتَّوَكُّلِ
“At-Tiyaratu (berfikiran negatif kepada sesuatu yang terjadi, dan mempercayai akan berlaku kejadian buruk dari kejadian tersebut) adalah syirik (dari segi perbuatannya), dan tiadalah daripada kami kecuali (pernah terlintas di fikiran hal ini), akan tetapi Allah menghapuskannya dengan tawakkal”
(Riwayat Al-Bukhari, Sahih Adab Al-Mufrad 407, Ahmad 3687, Abu Dawud 3910)

Jelas berdasarkan dua hadis ini, kejadian Alam Semula Jadi, mahupun kejadian di sekeliling kita, adalah tiada kaitan sama sekali dengan hal akan datang, bahkan mempercayainya (secara negatif) adalah sesuatu yang boleh merosakkan keimanan kita.
Bagi menguatkan lagi apa yang telah diterangakn di atas, di sini disenaraikan dalil-dalil yang mengharamkan mempercayai, atau terlibat dengan hal yang berkaitan ilmu kenujuman (asal perkataan nujum adalah bahasa arab kata jamak yang bermaksud “bintang”) atau dengan istilah modennya aplikasi ramalan ini.

Nabi SAW bersabda (daripada sebahagian isteri-isteri Nabi SAW):
مَنْ أتَى عَرَّافًا فَسَالَهُ عَنْ شَيْءٍ لَمْ تُقْبَلْ لَهُ صَلاةُ أرْبَعِينَ لَيْلَةٍ
“Sesiapa yang mendatangi nujum (tukang tilik) dan bertanya kepadanya, tidak akan diterima solatnya selama 40 malam.”
(Hadis Sahih Riwayat Muslim No. Hadis: 4137)

Nabi SAW bersabda lagi (daripada Abu Hurairah R.A):
مَن أَتَى عَرَّافًا أَوْ كَاهِنًا فَصَدَّقَهُ بِمَا يَقُولُ فَقَدْ كَفَرَ بِمَا أَنْزَلَ عَلى مُحَمَّد
“Sesiapa yg mendatangi tukang tilik/ahli nujum dan mempercayainya, maka sesungguhnya dia telah mengingkari apa yang telah diturunkan kpd Muhammad”
(Sahih At-Targhib wa At-Tarhib, No Hadis 3047, Sahih Al-Jami’, No Hadis 5939)

Kedua-dua dalil ini jelas menunjukkan, hanya sekadar mendatangi dan bertanya sahaja, dosanya begitu besar iaitu tidak diterima solat selama 40 malam (hadis riwayat Muslim), dan jika mempercayainya pula, dosanya lebih besar.

Justeru, amat disarankan kepada semua, tinggalkanlah segala aplikasi yang melibatkan ramalan atau apa-apa sama erti dengannya, kerana dibimbangi itu juga adalah salah satu senjata musuh Islam dalam menggoyahkan aqidah penganutnya, supaya lebih mudah dipengaruhi, bukankah Nabi SAW pernah bersabda:
(( لَتَتَّبِعُنَّ سَنَنَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ شِبْرًا بِشِبْرٍ وَذِرَاعًا بِذِرَاعٍ
حَتَّى لَوْ دَخَلُوا فِى جُحْرِ ضَبٍّ لاَتَّبَعْتُمُوهُمْ ))
قُلْنَا: (يَا رَسُولَ اللَّهِ آلْيَهُودَ وَالنَّصَارَى). قَالَ: (( فَمَنْ )).
“Kamu semua akan mengikut (secara melampaui batas) jalan-jalan orang-orang sebelum kamu dari sejengkal ke sejengkal, dari sehasta ke sehasta, sehingga kalau mereka masuk ke lubang dhob sekalipun, nescaya kamu akan mengikuti mereka”.
Kami semua berkata: Ya Rasulallah, Yahudi dan Nasrani?!.
Nabi SAW bersabda: “(Habis) siapa lagi?!”
(Hadis Sahih Riwayat Bukhari, No Hadis 3269, dan Muslim, No Hadis 6952)

Sedar atau tidak (walaupun ada yang mengatakan hanya niat untuk main-main), semua ini secara langsung melibatkan akidah dan mempunyai unsur-unsur syirik! Dosa-dosa lain, Allah boleh ampunkan, namun DOSA SYIRIK tidak sama sekali. Adakah masih sanggup bermain permainan yang melibatkan dosa besar dan neraka?!

Firman Allah (Surah An-Nisa’, 48):
إِنَّ اللّهَ لا يَغْفِرُ أَن يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَلِكَ لِمَن يَشَاءُ وَمَن يُشْرِكْ بِاللهِ
فَقَدِ افْتَرَى إِثْماً عَظِيماً
Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa syirik, dan Dia mengampuni segala dosa yang selain dari (syirik) itu, bagi siapa yang dikehendaki-Nya. Barangsiapa yang mempersekutukan Allah, maka sungguh ia telah berbuat dosa yang besar.

HARGA SEKELUMIT TAUHID DAN AQIDAH LEBIH MAHAL DAN BERGUNA DARI SEBESAR ZARAH DOSA SYIRIK !!

Wallahu’alam.

Untuk keterangan lanjut dengan sentuhan yang lebih ilmiah, sila baca artikel Prof Madya Dr. Mohd Zainal Abidin di SINI.

Video ceramah oleh Al-Fadhil Dr. Abdul Basit Abd Rahman, Mudir Pondok Sungai Durian berkenaan ramalan tarikh lahir, tahi lalat dan sebagainya:


0 comments:

Post a Comment