Monday, January 24, 2011

KEIMANAN ABU BAKR DAN KESEDIHAN UMAR

"Bibir mudah mengucap cinta, kasih dan sayang, tapi hati dan amalan sejauh mana membuktikan sayang !"

Sayang/Cinta/Kasih kepada Rasulullah SAW adalah salah satu tuntutan agama dan kemestian yang mana tidak boleh mendahulukan sesiapa pun dalam rasa kasih dan sayang ini, namun sejauh mana kasih dan sayang yg kita luahkan itu disalurkan mengikut tuntutan dan garis panduan sebenar-benarnya..
Adakah dikira kasihnya kita kepada Rasulullah SAW hanya dengan sekadar meluahkan "Ya Rasulallah, aku kasih padamu!"?

Adakah dikira cintanya kita kepada Rasulullah SAW hanya dengan sekadar melaungkan selawat-selawat dengan penuh semangat?

Adakah dikira sayangnya kita kepada Rasulullah SAW hanya dengan sekadar menyebarkan hadis-hadis Baginda secara meluas tanpa usul periksa kesahihannya?

Adakah dikira tebal dan utuhnya kasih/cinta/sayang kepada Rasulullah SAW dengan menyatakan sunnah-sunnah Rasulullah masih banyak, tinggalkan satu atau dua, tidak mengapa?

Adakah dikira tebal dan utuhnya kasih/cinta/sayang kepada Rasulullah SAW, apabila ada sunnah dinyatakan dengan jelas, kita mengatakan: hati-hati amalkan atau sebarkan, nanti memecahbelahkan manusia!?

TEPUK DADA TANYA IMAN KITA..

Di bawah didatangkan satu kisah untuk memuhasabahkan diri kita, sejauh mana SAYANG/KASIH/CINTA nya kita kepada Rasulullah SAW.

SAHIH AL-BUKHARI, NO HADIS 4097
Keimanan Abu Bakr dan Kesedihan Umar (Semuanya kerana Cinta Kepada Rasulullah SAW)…
عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَبَّاسٍ أَنَّ أَبَا بَكْرٍ خَرَجَ وَعُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ يُكَلِّمُ النَّاسَ،
فَقَالَ : اجْلِسْ يَا عُمَرُ. فَأَبَى عُمَرُ أَنْ يَجْلِسَ فَأَقْبَلَ النَّاسُ إِلَيْهِ وَتَرَكُوا عُمَرَ،
فَقَالَ أَبُو بَكْرٍ : أَمَّا بَعْدُ فَمَنْ كَانَ مِنْكُمْ يَعْبُدُ مُحَمَّدًا صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَإِنَّ مُحَمَّدًا قَدْ مَاتَ وَمَنْ كَانَ مِنْكُمْ يَعْبُدُ اللَّهَ فَإِنَّ اللَّهَ حَيٌّ لا يَمُوتُ. قَالَ اللَّهُ :
((وَمَا مُحَمَّدٌ إِلاَّ رَسُولٌ قَدْ خَلَتْ مِن قَبْلِهِ الرُّسُلُ أَفَإِن مَّاتَ أَوْ قُتِلَ انقَلَبْتُمْ عَلَى أَعْقَابِكُمْ وَمَن يَنقَلِبْ عَلَىَ عَقِبَيْهِ فَلَن يَضُرَّ اللّهَ شَيْئاً وَسَيَجْزِي اللّهُ الشَّاكِرِينَ))
سورة آل عمران، الآية 144.

Daripada Abdullah bin Abbas, Sesungguhnya Abu Bakr telah keluar ketika itu, Umar b Al-Khattab sedang bercakap-cakap dengan orang ramai (akibat terlalu terkejut), Maka (Abu Bakr) berkata: “Duduklah Ya Umar”, (Umar) enggan duduk.
Maka orang ramai ketika itu mula berpaling kepadanya (Abu Bakr) dan meninggalkan/membiarkan Umar.
Lantas Abu Bakr berkata: “Amma ba’du, sesiapa di antara kamu semua pernah menyembah (menganggap) Muhammad SAW (sebagai tuhan dan Baginda tidak akan mati), maka sesungguhnya (Baginda SAW) telah pun mati/meninggal dunia, (namun) sesiapa di antara kamu semua pernah (dan sentiasa tetap keimanan) menyembah hanya Allah SWT, maka sesungguhnya Allah tetap Maha Hidup dan tidak akan (selama-lamanya) mati.
Firman Allah: ((Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang rasul, sungguh telah berlalu sebelumnya beberapa orang rasul. Apakah Jika dia wafat atau dibunuh kamu berbalik ke belakang (murtad)? Barangsiapa yang berbalik ke belakang, maka ia tidak dapat mendatangkan mudharat kepada Allah sedikitpun, dan Allah akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur))
Surah Ali Imran, ayat 144.

وَقَالَ : وَاللَّهِ لَكَأَنَّ النَّاسَ لَمْ يَعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ أَنْزَلَ هَذِهِ الآيَةَ حَتَّى تَلَاهَا أَبُو بَكْرٍ، فَتَلَقَّاهَا مِنْهُ النَّاسُ كُلُّهُمْ فَمَا أَسْمَعُ بَشَرًا مِنْ النَّاسِ إِلا يَتْلُوهَا،
فَأَخْبَرَنِي سَعِيدُ بْنُ الْمُسَيَّبِ أَنَّ عُمَرَ قَالَ : وَاللَّهِ مَا هُوَ إِلا أَنْ سَمِعْتُ أَبَا بَكْرٍ تَلاهَا فَعَقِرْتُ حَتَّى مَا تُقِلُّنِي رِجْلايَ وَحَتَّى أَهْوَيْتُ إِلَى الأَرْضِ حِينَ سَمِعْتُهُ تَلَاهَا عَلِمْتُ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَدْ مَاتَ.

Dan (perawi-Ibnu Abbas) telah berkata: Demi Allah, sesungguhnya orang ramai (ketika itu) seolah-olah tidak pernah mengetahui bahawa Allah SWT pernah menurunkan ayat ini (ayat 144, Surah Ali-Imran) sehinggalah dibacakannya oleh Abu Bakr, maka kesemua orang ramai (ketika itu) menerimanya (belajar) darinya (Abu Bakr), (perawi menyebut) aku (seolah-olah) tidak akan mendengar dari seorang pun (ayat ini) kecuali dibacakan olehnya (Abu Bakr).
Maka Sa’id B. Al-Musayyab telah menceritakan kepada aku (yakni perawi-Ibnu Abbas) sesungguhnya Umar  telah berkata: “Demi Allah, tiada sesuatu pun kecuali aku telah mendengar Abu Bakr membacanya (ayat itu), maka aku menjadi lemah sehinggakan kedua kaki ku tidak lagi mampu menanggungku, sehinggakan aku jatuh ke bumi, ketika aku mendengar dia (Abu Bakr) membacanya (ayat itu) aku (barulah) sedar dan mengetahui bahawa sesungguhnya Nabi SAW telah mati”.


SYARAH HADIS NO. 4097, DARI KITAB SYARAH SAHIH AL-BUKHARI,
OLEH IBNU BATTAL, TAHQIQ: ABU TAMIM YASIR B. IBRAHIM
(MUKA SURAT: 242, CETAKAN KE-2, MAKTABAH AR-RUSYD, AR-RIYAD, 2003)

وذكر الطبرى عن ابن عباس،
فقال : والله إنى لأمشى مع عمر فى خلافته وبيده الدرة ،
وهو يحدث نفسه ويضرب قدمه بدرته ما معه غيرى
إذ قال لي : يا ابن عباس، هل تدري ما حملني على مقالتي
التي قلت حين مات رسول الله؟
قلت : لا أدري والله يا أمير المؤمنين .
قال : ما حملني على ذلك إلا قوله تعالى :
((وكذلك جعلناكم أمة وسطًا لتكونوا شهداء على الناس
ويكون الرسول عليكم شهيدًا)) [ البقرة : 143 ]
فوالله إني كنت لأظن أن رسول الله (ص) سيبقى في أمته حتى
يشهد عليها بآخر أعمالها.

At-Tabariy telah menyebut daripada Ibnu Abbas, telah berkata:
“Sesungguhnya aku telah berjalan bersama-sama dengan Umar pada zaman pemerintahannya (Umar), sedangkan di tangannya ada Permata, sambil dia (Umar) berkata-kata seorg diri, dan memukul kakinya dengan permata itu, tiada bersamanya kecuali aku (Ibnu Abbas), lantas dia (Umar) kepada aku: “Wahai Ibnu Abbas, adakah kamu tahu, apakah yang membuatkan aku untuk berkata-kata ketika matinya Rasulullah?
Aku (Ibnu Abbas) berkata: “Demi Allah, aku tidak tahu wahai Amirul Mukminin.
Dia (Umar) menjawab: “Tiadalah sesuatu pun yang membuatkan aku seperti itu kecuali Firman Allah SWT: ((Dan demikian (pula) Kami telah menjadikan kamu (umat Islam), umat yang adil dan pilihan agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu)) [Al-Baqarah, 143].
Demi Allah, sesungguhnya aku (ketika itu) telah menyangka bahawa Rasulullah SAW akan tetap bersama umatnya sehingga Baginda SAW menyaksikan umatnya dengan seakhir-akhir perilaku dan amalan mereka.

KESIMPULAN:
Umar Al-Khattab khalifah Islam yang ke-2, tidak disyaki lagi kehebatan kasih sayangnya dan keimanannya kepada Rasulullah SAW, namun apabila Baginda SAW mati, dek kerana tingginya kasih dan sayang Umar hampir-hampir tidak mempercayai bahawa Nabi SAW meninggal..

Abu Bakr khalifah Islam Pertama, sahabat paling akrab kepada Nabi SAW, sanggup mengorbankan segala-galanya untuk Islam dan mempertahankan Nabi SAW dari mara bahaya ketika hijrah, juga tidak diragui lagi keimanan dan kasih sayangnya kepada Rasulullah SAW, namun apabila Baginda SAW mati, dia lah orang pertama yang bangkit mengingatkan umat dan sahabat bahawa Nabi SAW telah meninggal..

Dua Individu Islam yang hebat yang mana keimanan dan kasih sayangnya kepada Rasulullah SAW jauh lebih mantap dan tinggi martabatnya berbanding kita di zaman ini atau zaman ulamak-ulamak selepas mereka..
Namun mereka berdua telah menempuh situasi berbeza ketika mana Rasulullah SAW meninggal, semuanya hanya kerana IMAN dan KASIH SAYANG kepada Rasulullah SAW...

Jadi, di mana kita dalam situasi ini ?!

Jawapan Sayang/Kasih/Cinta kita kepada Rasulullah SAW ada terkandung dalam ayat di bawah ini, perhatikanlah dan renungkanlah..

Firman Allah SWT, surah Ali-Imran, Ayat 31:
قُلْ إِن كُنتُمْ تُحِبُّونَ اللّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ
وَاللّهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ
Katakanlah (Wahai Muhammad):"Jika kamu semua (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku (yakni: Muhammad SAW dan sunnah-sunnahku), niscaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu." Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

CINTAILAH SUNNAH-SUNNAH RASULULLAH DENGAN MENGAMALKANNYA,

ITULAH TANDA DAN BUKTI KASIH/SAYANG/CINTANYA KEPADA BAGINDA TANPA BERBELAH BAGI,

BUKAN SEKADAR BERAMAL TANPA USUL DAN BATASAN,

KERANA SEGALA-GALANYA RASULULLAH SAW TELAH BAWAKAN,

TIDAKLAH BAGINDA MENGAJARKAN KECUALI SEMUA DARI ALLAH, TUHAN SEKALIAN ALAM !

0 comments:

Post a Comment